_________________________________________________________________________________________
Kasihnya Allah Pada Wanita
"Keistimewaan yang Tuhan berikan
kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada
wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk
menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya,
tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain
yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam
melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang
cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk
menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan
mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan
buat seorang wanita di dalam Islam.
Namun, ramai wanita yang tidak memahami
hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri
dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang
digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan
bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain
lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan
yang dianggap sangat menindas wanita.Walhal kalau dikaji setiap
satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah
dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.
Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan
oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu
sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah.
Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta
larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri
atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu
banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu
melebihi had laju, ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu
selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang
sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah
dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah
kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia
dan Akhirat.
Tuhan sebenarnya sangat kasih dan
memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan
ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan
keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan
mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari
kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan oleh Tuhan
kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.
i) Gelaran bagi `isteri' di dalam
Al Quran
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan
suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-
bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan
dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan
untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah
`wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami
ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.
Tetapi di dalam Al Quran, suami
dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan
`zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya
iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan
isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain.
Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah
ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih
mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang
kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap
mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain.
Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih
hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada
kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam
Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.
Namun, gelaran zaujuh ini hanya
diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak
beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut
dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah',
kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau
penutup kepada suaminya.
ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap
Wanita
Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan
betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam.
Antaranya:
a.) "Syurga di bawah telapak
kaki ibu."
Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah
SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan
"di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu?
Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di
dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia,
menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan
diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar
syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam?
Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela,
dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.
b.) "Orang yang paling baik
dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya,
dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."
c.) "Tidak akan memuliakan
perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina
akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis
riwayat Ibnu `Asakir)
d.) "Bergaullah kamu dengan
isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak
menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai
sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."
e.) "Janganlah seorang mukmin
lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana
walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi
(tentu) ada lain perangainya yang isteri suka."(Hadis riwayat
Ahmad dan Muslim)
Demikianlah hak-hak istimewa seorang
wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa,
kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain
atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki,sebaliknya mereka boleh
yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati,
menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas. |